Thursday, April 22, 2010

Kearah Memantapkan Kemahiran Bahasa Arab

Terdapat satu kesilapan besar dalam memahami apa itu kemahiran bahasa. Ramai orang menganggap bahawa apabila seseorang memahami kaedah dan ciri-ciri suatu bahasa maka dia dianggap seorang yang mahir dalam bahasa tersebut. Pada hakikatnya dia belum boleh dikatakan sebagai seorang yang mahir dalam bahasa tersebut. Ini kerana penguasaan dalam suatu bahasa harus diukur dari suduat kemahirannya dalam menggunakan bahasa tersebut. Kemahiran bahasa bukanlah suatu teori, tetapi ia adalah suatu praktikal. Memahami bahasa secara teori sahaja hanyalah satu bahagian kecil daripada proses pembelajaran bahasa. Sudut yang benar-benar dapat mengukur tahap kemahiran seseorang ialah kebolehan menggunakan bahasa secara praktikal.


Berdasarkan hakikat inilah didapati bahawa ramai orang yang belajar Bahasa Arab (BA), tetapi tidak ramai yang dapat menguasainya dalam erti-kata yang sebenarnya. Puncanya ialah cara pembelajaran yang tidak seimbang. Penekanan lebih banyak diberikan kepada teori sementara pembelajaran dan latihan secara praktikal sering kali diabaikan.


Di negara kita, BA sudah dipelajari sudah sekian lama samada di pondok-pondok, sekolah-sekolah agama, maktab-maktab, universiti dan juga secara persendirian. Malah, BA juga sudah diajar di sekolah-sekolah bukan agama sebagai subjek pilihan. Namun satu perkara yang menimbulkan tandatanya ialah pelajar-pelajar yang sudah bertahun-tahun mempelajari BA tidak mampu menggunakannya walaupun dalam perkara-perkara asas. Realiti ini sudah tentu sesuatu yang merugikan dan sekaligus menuntut mereka yang peka dalam hal ini agar mengemukakan idea dan mengorak langkah ke arah memantapkan tahap penguasaan BA. Sebagai seorang muslim, ini adalah suatu kewajipan, dan bukan semata-mata suatu kegiatan.


Artikel ini akan cuba mengemukan beberapa idea kearah memertabatkan tahap keupayaan dan penguasaan BA.


Seperti yang disebutkan tadi, aspek yang sering diabaikan dalam pengajaran dan pembelajaran BA ialah penguasaan kemahiran bahasa. Terdapat empat jenis kemahiran asas bahasa iaitu:


1. Kemahiran Mendengar
2. Kemahiran Bertutur/Bercakap
3. Kemahiran Membaca
4. Kemahiran Menulis


1. Kemahiran Mendengar


Sebaik sahaja seorang bayi dilahirkan, dia terus memulakan proses pertama dan utama dalam rangka mempelajari bahasa ibundanya. Cuma, ia berlaku tanpa disedari. Proses ini berlaku secara terus menerus tanpa henti. Dia mendengar daripada semua orang di sekelilingnya. Walaupun ia tidak dirancang, namun ia benar-benar suatu latih-tubi yang amat intensif dan ekstensif. Sedikit demi sedikit dia mengenali suara, cara sebutan huruf, intonasi, sampailah kepada pembentukan ayat-ayat. Pada tahap ini, kanak-kanak kecil hanya belajar kemahiran mendengar secara sehala. Ini adalah tahap pembinaan dan pengukuhan. Tanpa melalui tahap ini, perkembangan bahasa seoranag kanak-kanak akan terganggu. Masalah ini dapat dilihat dengan jelas pada kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran, di mana tahap penguasaan bahasanya begitu lembab berbanding kanak-kanak biasa.


Apakah bentuk bahasa yang didengari oleh kanak-kanak? Adakah dia mendengar kalimat-kalimat secara berasingan? Sebenarnya, dalam proses mendengar, kanak-kanak tidak disogokkan dengan kalimat-kalimat secara berasingan seperti yang terdapat dalam kamus. Malah, dia mendengar bahasa digunakan dalam ayat yang lengkap dan dalam suasana yang sebenar. Menurut pakar, semakin banyak latihan mendengar dilakukan, maka semakin mantap penguasaan bahasa seorang kanak-kanak. Inilah faktor asas kenapa kanak-kanak dapat menguasai bahasa ibundanya dengan sempurna dalam masa yang singkat.
Satu daripada kesan latihan mendengar yang mantap ialah seseorang akan dapat menangkap maksud perkataan dan bentuk-bentuk ayat yang didengari secara automatik, iaitu tanpa berfikir, dan mampu memberi reaksi yang sesuai.
Suasana pembelajaran kanak-kanak seperti di atas harus diadaptasi dengan sebaik-baiknya untuk membentuk kemantapan kemahiran mendengar yang menjadi asas kepada penguasaan kemahiran-kemahiran yang berikutnya. Pakar-pakar bahasa mengatakan bahawa belajar melalui pancaindera mendengar adalah lebih berkesan daripada belajar melalui pancaindera penglihatan.

Bagaimanakah cara merealisasikan proses pembelajaran mendengar seperti yang diterangkan di atas. Terdapat berbagai teknik untuk menghasilkan proses pembelajaran tersebut.
  • Mendegar CD atau kaset yang mengandungi rakaman perbualan yang sebenar. Sebaik-baiknya hendaklah dimulai dengan tahap yang asas (elementary), yang mengandungi tajuk dan bahasa yang mudah, iaitu yang berlaku seharian. Mungkin anda boleh mencipta sendiri bahan-bahan atau alat-bantu belajar tersebut atau mendapatkannya daripada internet. Mula-mula, dengar CD dengan penuh perhatian. Jika ianya agak panjang, anda boleh gunakan 'pause' dan ulang-dengar beberapa kali. Catat perkataan yang tidak difahami dan setelah mengetahui maksudnya dengar sekali lagi, malah sehingga beberapa kali sehingga anda memahaminya seratus peratus. Mendengar berulang-kali amat penting dalam proses memantapkan kemahiran mendengar. Tenik ini hendaklah diteruskan dari satu CD ke satu CD atau lain-lain media. Kemahiran mendengar anda bergantung sebanyak mana bahan yang anda dengar dan sebanyak mana masa yang anda habiskan untuk tujuan itu. Dalam membuat catatan anda tidak digalakkan untuk mencatatkan perkataan secara berasingan, sebaliknya hendaklah dicatatkan dalam bentuk bagaimana ia digunakan di dalam ayat.
  • Media pandang-dengar seperti VCD juga baik untuk digunakan dengan mempraktikkan teknik yang disebut di atas. Mendengar sambil melihat mungkin lebih dekat kepada proses pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak. Ia akan memberi kesan yang lebih mendalam. Cara terbaik untuk mendapatkan hasil yang maksima ialah menonton babak demi babak secara berulang-kali. Jangan beralih ke babak kedua selagi babak pertama belum dapat difahami sepenuhnya.
  • Mendengar radio adalah sesuatu yang amat mudah. Pilihlah program yang sesuai dengarlah dengarlah dengan tekun. Dalam masa yang singkat anda akan dapat rasai hasilnya.
  • Jika anda berada di sebuah negara Arab, ini adalah satu peluang keemasan untuk anda garapkan segala kemahiran termasuklah kemahiran mendengar. Bergaullah dengan pelajar-pelajar Arab dan juga penduduk tempatan (kalau keadaan mengizinkan). Satu fenomena yang menyedihkan berlaku kepada penuntut-penuntut Malaysia di luar negara dimana mereka lebih suka bergaul sesama sendiri. Sikap ini amat merugikan sekali. Janganlah perkara ini terjadi kepada anda. Mungkin peluang seperti ini tidak berulang di masa akan datang.
  • Jika proses ini berjalan dengan lancar, anda akan dapati bahawa semakin lama, semakin mudah bagi anda memahami bahan-bahan yang anda dengar, dan pada masa yang sama ia menunjukkan bahawa anda telah melakukan sesuatu yang betul.

2. Kemahiran Bertutur

Hubungan bahasa dengan kemahiran bertutur amat rapat sekali. Kemahiran ini adalah neraca yang paling asas untuk mengukur penguasaan seseorang dalam sesuatu bahasa. Walaupun kemahiran mendengar menjadi asas kepada kemahiran-kemahiran yang lain, namun ia adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat. Kemahiran bertutur juga boleh dikatakan sebagai natijah pertama daripada kemahiran mendengar. Bagaimana hendak merealisasikan kemahiran ini? Di bawah ini diterangkan beberapa teknik yang asas untuk tujuan tersebut.
  • Hendaklah dimulakan dengan perbualan yang mudah, iaitu mengenai perkara-perkara yang paling kerap berlaku di dalam kehidupan anda seharian, di rumah, masjid, pejabat, sekolah, dan sebagainya.
  • Hendaklah dicatatkan perbualan-perbualan yang anda sudah pelajari, tetapi bukan untuk dibaca sendiri, malah ia sebagai rujukan jika terlupa, dan untuk mengetahui sebanyak mana perbualan yang sudah dikuasai. Jika ada perkataan yang baru, jangan dicatat perkataan secara individu, sebaliknya dicatat cara penggunaannya dalam ayat.
  • Perbualan ini hendaklah diulangi sebanyak yang mungkin sehingga ia menjadi sebati dan dapat mengucapkannya dengan pantas tanpa perlu berfikir.
  • Carilah teman belajar yang dapat membantu anda mempraktiskan perbualan, 2 orang atau lebih. Boleh buat kumpulan tetapi jangan terlalu ramai (paling ramai 4 orang). Sebaik-baiknya ialah orang yang mempunyai cita-cita yang sama. Praktiskan perbualan di mana-mana sahaja, tidak terhad di dalam kelas sahaja, malah cuba berinteraksi dengan BA melalui talipon, email, surat menyurat dan lain-lain.
  • Ketika mempraktiskan kemahiran ini, hendaklah sentiasa bayangkan perbualan-perbualan yang selalu dan paling kerap berlaku, kemudian kemukakan soalan; Bagaimana hendak menuturkannya dalam BA? Selepas itu tanyalah pakar, kemudian praktiskan. Cara ini akan menimbulkan satu kepuasan dan merasai bahawa BA adalah relevan.
  • Jangan takut membuat kesilapan. Belajar melalui kesilanpan. Jangan peduli apa orang lain kata. Jika anda takut melakukan kesilapan, ini bermakna anda telah meletakkan diri anda di dalam sebuah bilik gelap, dan tidak akan dapat maju walaupun selangkah. Sikap ini sangat merugikan diri sendiri.
  • Jika anda menghadapi masalah rujuklah kepada pakar.
  • Semasa mempraktis kemahiran bercakap, kemahiran mendengar hendaklah diteruskan. Mendengar secara berterusan akan memperkasakan kemahiran bercakap. Malah kedua-duanya saling menguatkan antara satu sama lain.
  • Ambilberat cara menutur atau menyebut setiap huruf. Cuba sebut setiap huruf berdasarkan makhrajnya seperti mana anda lakukan ketika membaca al-Quran al-Karim. Banyak huruf-huruf Arab yang mempunyai sebutan yang hampir sama. Contohnya huruf SIN dan THA', dimana ramai orang menyebut THA' seperti menyebut SIN. Makhraj-makhraj huruf bukanlah suatu masalah bagi orang Melayu, tetapi sayangnya ia tidak diambilberat ketika mempraktiskan perbualan.
  • Di peringkat permulaan, jangan bercakap dengan laju. Beri perhatian kepada sebutan yang betul. Jika latihan berterusan, kelancaran bercakap akan terbina sendiri sedikit demi sedikit. Perhatikan bagaimana penutur asal atau pakar bercakap.
  • Hendaklah belajar dengan tekun dan tumpuan yang penuh. Ingatlah bahawa belajar adalah suatu proses yang memerlukan komitmen yang tinggi. Jika anda dapat mengikuti langkah-langkah ini, anda akan dapat lihat hasinya nanti.
  • Bagi mereka yang belajar di negara Arab, inilah sebaik-baik masa untuk menggarapkan kemahiran bahasa anda. Setiap detik anda berada di sana amat berharga, kerana anda boleh meninggkatkan kemahiran anda sepanjang masa dan bila-bila masa sahaja tanpa had, di kelas, di jalan, di dalam perjalanan, di pasar dan di mana-mana. Janganlah sia-siakan peluang keemasan ini. Janganlah hadkan pergaulan dengan rakan-rakan Melayu atau senegeri sahaja. Bergaul dengan rakan-rakan Arab memberi faedah yang sangat besar. Peluang seperti ini tidak boleh didapati sepanjang masa.
3. Kemahiran Membaca
  • Di antara natijah kemahiran mendengar dan bertutur ialah kelancaran menggunakan bahasa dan dapat berkomunikasi dengan baik dan keyakinan diri. Kelebihan ini harus digunakakan sebaik-baiknya oleh pelajar sebagai asas meningkatkan keupayaan berbahasa. Ini kerana kemahiran mendengar dan bertutur kebiasaannya mempunyai ruang yang agak terbatas kerana format-format bahasa yang digunakan hanya berlegar di sekitar kehidupan seharian seorang pelajar. Kerana itu seseorang pelajar tidak harus mengikat dirinya pada tahap ini sahaja. Membaca akan membuka ruang-ruang yang luas kepada pelajar di mana melaluinya kemampuan bahasanya akan menjadi lebih dinamik dan semakin mantap.
  • Kerana itu, dengan hanya menguasai kemahiran mendengar dan bertutur, seseorang tidak harus merasakan bahawa dia sudah mahir dalam Bahas Arab. Ini kerana penggunaan kedua-dua kemahiran tadi agak terbatas dalam aspek interaksi. Membaca akan memecahkan segala tembok-tembok sempadan dan akan membuka mindanya untuk berkenalan dan membiasakan dirinya dengan format-format bahasa yang baru. Format-format baru ini akan menjadikannya seorang yang kaya bahasa di mana dia mampu untuk menggunakan ekspresi yang sesuai mengikut keadaan dan suasana. Bagaimana untuk sampai ke tahap ini? Ikuti tulisan seterusnya.
  • Anda tidak harus panik. Kesabaran adalah senjata yang amat berguna untuk mencapai tahap ini. Mulailah dari langkah pertama, iaitu membaca bahan-bahan yang paling mudah dan ringan serta tidak membebankan. Membaca buku kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mengaibkan. Di dalamnya pasti terdapat perkara-perkara baru yang boleh dipelajari. Anda hendaklah membaca secara berterusan. Sebaik-baiknya ialah membaca secara berjadual. Sebagai contoh, anda menetapkan bahawa setiap malam, sebelum tidur, anda akan membaca selama satu jam dari jam 10 mlm sehingga jam 11 mlm. Maka waktu tersebut tidak harus diganggu dengan aktiviti yang lain. Jadikan ia suatu amalan dan disiplin yang berterusan. Ini hanya satu contoh, namun semakin kerap dan semakin panjang masanya, maka ia akan lebih berkesan.
  • Anda hendaklah mengamalkan konsep membaca dari kulit ke kulit, jangan gunakan konsep tebuk. Tandakan ditempat anda berhenti untuk disambung pada hari berikutnya. Apabila anda telah selesai membaca satu buku, catatkan nama buku, tarikh mula dan selesai membaca, dan teruskan membaca buku yang lain pula. Rekod ini amat penting untuk mengukur disiplin dan sekali gus memotivasikan diri anda.

    Di peringkat permulaan, membaca dengan suara yang kuat adalah lebih berkesan. Ia bertujuan mengaktifkan kedua-dua pancaindera dengar dan bertutur secara serentak. Cara ini mungkin tidak diperlukan lagi apabila anda sudah memiliki kemahiran bahasa yang tinggi.
  • Dalam proses membaca, gunakan kekuatan minda anda untuk mengandaikan makna perkataan dan ayat yang dibaca. Kurangkan pergantungan kepada kamus. Kamus hanya digunakan jika ia benar-benar diperlukan. Menggunakan kamus terlalu kerap akan mengganggu konsentrasi minda. Anda harus ingat, bahawa membaca pada peringkat ini bertujuan membiasakan diri dengan perkataan-perkataan dan format-format baru bahasa yang dipelajari. Objektif akhir ialah untuk menjadikan anda seorang yang kaya dan perkasa bahasa. Kaya bahasa bukan bererti menghafal banyak perkataan, tetapi juga mahir dalam menggunakannya. Kerana itu anda juga harus menjadi seorang perkasa bahasa. Mungkin untuk permulaan anda hanya dapat memahami 50% sahaja apa yang anda baca. Anda tidak perlu risau. Apa yang penting anda hendaklah meneruskan pembacaan. Dengan cara ini pemahaman anda akan terus bertambah dari masa ke semasa dan tidak mustahil anda akan dapat faham hampir keseluruhan apa yang anda baca walaupun bukan 100%. Jika anda dapat memahami 90%-95% maka ia sudah dianggap satu kejayaan besar. Ramai orang yang gagal dalam perkara ini kerana kecewa tidak dapat dapat memahami apa yang dibaca. Anda harus menganggap keadaan itu sebagai suatu cabaran, bukan suatu masalah.
  • Proses membaca harus bersifat dinamik. Ini bermaksud ia harus meningkat dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Kerana itu membaca harus menjadi suatu tabiat yang menjadi darah daging anda.
  • Bahan bacaan harus pelbagai.


4. Kemahiran menulis

Kemahiran menulis mungkin boleh dianggap sebagai kemahiran yang paling sukar untuk mencapai tahap kemantapan sebenar. Kemahiran ini mempunyai kaitan yang rapat dengan tiga kemahiran yang dibincangkan di atas. Dalam kata lain, kemahiran-kemahiran di atas, adalah pemangkin yang kuat untuk mencapai kemantapan dalam kemahiran menulis. Ini kerana menulis ialah suatu proses mencatat semula apa yang anda perolehi daripada apa yang didengar, yang dituturkan dan yang dibaca. Segala input yang diperolehi daripada berbagai-bagai sumber yang ada di sekeliling anda, digarap menjadi idea-idea baru yang ingin diluahkan semula dengan cara dan gaya yang tersendiri. Ini bermakna, kemahiran menulis adalah suatu proses output yang lebih serius dan terperinci. Untuk permulaan, hendaklah dimulai dengan penulisan yang mudah dan ringan sambil mengasah bakat dan kebolehan yang ada. Sebuah hasil penulisan adalah suatu dokumentasi yang kekal dan akan menjadi suatu warisan ilmiah dan budaya walaupun dalam ruang-lingkup yang terbatas. Kerana itu, adalah mustahil bagi seseorang dapat menulis dengan baik tanpa memiliki kemahiran-kemahiran di atas. Semua kemahiran-kemahiran ini, terutama sekali kemahiran membaca, boleh dianggap sebagai modal asas dan terpenting untuk seseorang mencapai tahap penulisan yang mantap. Boleh dikatakan bahawa pada peringkat menulis, anda semakin memerlukan kepada pengetahuan yang mendalam tentang ilmu-ilmu bahasa seperti gramar dan ilmu-ilmu bahasa yang mengupas cara-cara penulisan yang betul. Bermula daripada perkataan, prasa, ayat sehinggalah kepada pembentukan paragraf, semuanya mempunyai kaedah dan disiplin yang tersendiri. Kerana itu, harus dingat bahawa selain daripada latihan-latihan secara individual, kemahiran menulis juga memerlukan latihan yang sistematik, khususnya apabila seseorang ingin menceburkan diri secara serius dalam bidang penulisan yang merupakan suatu dunia yang sangat luas. Ini bermakna bahawa anda harus mempunyai tempat rujukan yang pakar dalam bidang ini. Namun, seperti halnya dengan kemahiran yang lain, ia kelihatan sukar pada peringkat awal, tetapi setelah diceburi ia akan semakin mudah dan menyeronokkan. Kemuncak kepada kemahiran menulis ialah seseorang mungkin akan memasuki suatu alam keilmuan yang lebih serius dan akan memberi impak yang besar kepada diri dan masyarakat.

صفات الغرباء

Klik di SINIhttp://audio.islamweb.net/audio/index.php?page=audioinfo&audioid=141547

Thursday, April 1, 2010

Gaya Bahasa al-Quran al-Karim- Satu Sorotan

Al-Quran al-Karim sarat dengan gaya bahasa yang sangat berguna. Namun tidak ramai yang memberi perhatian kepada perkara ini. Artikel ini cuba menyorot secara ringkas beberapa contoh gaya bahasa al-Quran untuk dimanfaatkan oleh para pencinta BA. Ia bertujuan menarik perhatian mereka kepada al-Quran al-Karim dan sekali gus menjadikannya sebagai satu sumber penguasaan bahasa selain daripada membaca, bertadabbur dan beramal dengannya. Malah, dengan mendalami gaya bahasa al-Quran, seseorang akan dapat menghayati pembacaan al-Quran dengan lebih berkesan lagi. Walau bagaimanapun, artikel ini tidak bermaksud membahaskan tajuk ini dari konteks ilmu Balaghah, sebaliknya lebih kepada aspek penggunaan bahasa. Bersambung...