Wednesday, February 24, 2010

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab

Assalamu'alaikum. Bahasa Arab (BA) adalah bahasa al-Qur'an al-Karim. Al-Qur'an telah menegaskan bahwa bahasanya adalah mudah untuk dipelajari. Tetapi kita lihat pembelajaran BA tidak membuahkan hasil yang dicita-citakan. Berapa ramai yang telah belajar BA selama bertahun-tahun, dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan seterusnya Universiti. Tidak kurang yang menyambung pelajaran ke luar negara, terutama di Timur Tengah. Namun, tahap penguasaan BA amat mengecewakan. Keadaan ini disebabkan oleh dua faktor penting, iaitu:

1. Tidak memahami konsep pengajaran/pembelajaran. Kerap BA diajar tanpa mengetahui method yang betul. Ia seolah diajar tanpa mempunyai tujuan. Cara yang paling biasa digunakan ialah mengajar kaedah Nahu Arab sejak daripada tahap pertama dengan anggapan bahawa dengan mengetahui kaedah-kaedah ini pelajar akan mahir dalam BA. Tidak dinafikan bahawa kaedah nahu adalah penting dalam pembelajaran bahasa, tetapi memahami kaedah nahu sahaja tidak bermakna seseorang menguasai sesuatu bahasa. ramai yang tidak memahami bahawa kaedah bahasa berbeza daripada bahasa itu sendiri. Sebagai contoh, ramai orang yang telah hafal kaedah-kaedah nahu, tetapi tidak mahir dalam bercakap, menulis dan membaca. Di samping cara di atas, cara yang popular juga dalam pebgajaran BA ialah penterjemahan. Cara ini sekaligus memalingkan pelajar daripada memberi tumpuan kepada bahasa asal, sebaliknya memberikan tumpuan kepada terjemahan dalam bahasa kedua. Cara ini sebenarnya adalah pengaruh daripada pengajaran teks agama seperti fiqh, tafsir, hadith dan lain-lain. Dalam hal ini penterjemahan ke dalam bahasa kedua adalah penting kerana tujuan asas pengajaran teks-teks agama adalah pemahaman yang mendalam terhadap iasi kandungan yang disampaikan. Keadaan amat berbeza dalam hal pengajaran bahasa, kerana tujuan asasi daripadanya ialah bagaimana pelajar dapat mencapai suatu tahap kemahiran dalam penggunaan bahasa.

2. Tidak memberi penekanan kepada kemahiran bahasa. Pada asasnya, bahasa adalah suatu media yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Komunikasi ini akan melibatkan pancaindera telinga untuk mendengar, lisan untuk menutur, mata untuk membaca dan tangan untuk menulis. Kebolehan seseorang menggunakan beberapa atau semua pancaindera dalam komunikasinya itu dinamakan sebagai kemahiran bahasa. Namun, untuk mencapai tahap komunikasi yang berkesan, latihan terhadap kemahiran ini harus diberikan penekanan sejak dari peringkat awal lagi. Nampaknya inilah yang amat kekurangan dalam pengajaran BA di Malaysia khususnya.
Satu Cadangan
Terdapat banyak sekali method pengajaran bahasa yang dibahaskan oleh pakar-pakar pendidikan. Bagaimanapun, di antara method yang paling berkesan pada pendapat saya ialah Kaedah Terus (Direct Methode). Ini kerana pendekatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada penggunaan bahasa sasaran. Pada asasnya guru tidak akan menggunakan kaedah terjemahan, malah dia hanya akan menggunakan bahasa sasaran. Secara saikoloji, guru berperanan sebagai contoh utama dalam menggunakan bahasa sasaran. Penggunaan bahasa sasaran secara langsung bertujuan melatih minda pelajar supaya berfikir dalam bahasa yang dipelajari. Ia juga menghampiri proses pembelajaran bahasa ibunda di kalangan kanak-kanak. Oleh kerana itu, methode ini juga kadang-kadang disebut juga sebagai Kaedah Semulajadi (Natural Methode). Berdasarkan ini, semakin hampir pendekatan kita kepada proses kanak-kanak belajar bahasa ibunda, maka semakin mantap kemahiran yang dikuasai.
Ciri-ciri penting Kaedah Terus ialah:
1. Ia memberi penekanan kepada kemahiran bahasa. Untuk peringkat permulaan, kemahiran mendengar dan bercakap diberi perhatian yang lebih.Ini kerana kedua kemahiran ini adalah asas penting untuk melancarkan proses pembelajaran yang seterusnya.Perkara ini juga selari dengan proses pembelajaran kanak-kanak. Sejak lahir, kanak-kanak terus belajar bahasa ibundanya daripada persekitaran. Pada tahap ini, pancaindera yang terlibat hanyalah pendengaran. Proses mendengar mungkin berjalan selama setahun atau lebih. Tahap ini diikuti oleh latihan bercakap yang juga mengambil masa yang agak lama di samping kemahiran mendengar yang berterusan. Boleh dikatakan bahawa kemantapan kemahiran bertutur bergantung sepenuhnya kepada kemahiran mendengar. Malah, setengah pakar mengesyorkan bahawa pada tahap permulaan, patut dikhususkan suatu period (6 bulan misalnya) hanya untuk melatih tubi kemahiran mendengar, persis cara kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda di peringkat permulaan. Latihan mendengar juga bertujuan membantu pelajar menguasai penyebutan huruf yang betul.
2. Ia menekankan kepada penggunakan bahasa yang paling kerap di dalam kehidupan seharian. Ia memberi fokus kepada perbualan yang berlaku sehari-hari; di rumah, di pasar, di sekolah dan lain-lain. Kebolehan berbual adalah satu petanda kepada kebolehan bertindak balas terhadap apa yang didengar. Apabila seseorang berjaya sampai ke tahap ini, ia akan menjadi suatu pendorong yang berguna untuk mengembangkan penguasaan yang lebih bermakna dalam bahasa yang dipelajarinya. Sebaliknya seorang yang tidak dapat menguasai kemahiran ini, ia akan menjadi penghalang baginya daripada meneruskan proses pembelajaran. Kemungkinan besar dia akan merasa hampa dan putus asa.
3. Ia menekankan penggunaan bahasa yang mudah, tidak kompleks, perkara-perkara yang wujud secara fizikal. Pada peringkat permulaan, perkataan-perkataan dan tajuk-tajuk yang mempunyai makna yang abstrak dielakkan.
4. Ia mementingkan pengulangan atau latih-tubi. Seperti yang disebutkan di atas, method ini cuba mendekati proses pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak di mana pengulangan adalah satu daripada elemen yang sangat penting. Begitulah hendaknya seseorang yang belajar BA mesti mendengar dan berlatih bertutur sekerap yang mungkin. Selama mana pengulangan berlangsung, sebanyak itulah kemantapan yang dicapai oleh pelajar.
5. Ia mementingkan penggunaan bahasa. Oleh kerana itu perbendaharaan kata tidak diajar secara individu. Ketika mencatat perkataan yang baru misalnya, pelajar tidak mencatat perkataan itu sahaja, malah perkataan dan bagaimana ia digunakan di dalam ayat.
6. Ia tidak mengajar kaedah-kaedah nahu dan saraf secara langsung, sebaliknya, melatih pelajar memahami ciri-ciri bahasa melalui pemerhatiannya ketika menggunakannya. Kadang-kadang kaedah-kaedah nahu yang asas diterangkan secara ringkas, tetapi bukan dalam bentuk suatu teori yang mendalam. Tujuannya ialah supaya minda pelajar tidak dikongkong oleh kaedah-kaedah nahu/saraf, dimana ini akan melambatkan proses pembelajaran kerana penekanan kepada kaedah nahu/saraf secara lansung pada peringkat permulaan biasanya boleh menyebabkan bahawa BA adalah sukar. Ia juga menimbulkan perasaan takut melakukan kesalahan. Belajar melalui kesalahan adalah suatu proses yang tabi'i dan bersahaja, tetapi akan meninggalkan kesan yang mendalam.

...Bersambung.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment